Powered By Blogger

07 June 2012

Sejarah Penubuhan

Bermula daripada perbincangan secara tidak rasmi antara Pengetua Cemerlang SMK Taman Tun Fuad, Puan Hajah Siti Salmiah bt Hj Samaie bersama Encik Zulkifli Bin Hj Ishak, Pegawai Kaunseling di Pejabat Pelajaran Daerah Kota Kinabalu pada 03 Mac 2009, maka tercetus idea untuk menubuhkan sebuah bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah ini. Ini juga sekaligus menunjukkan bahawa SMK Taman Tun Fuad telah menyahut cabaran untuk menjadi pesaing dalam pelbagai pertandingan PPDa yang dianjurkan umpamanya Pertandingan Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) dan Karnival PPDa.

Bermula dengan mencari lokasi yang bersesuaian, pihak pentadbiran sekolah telah sepakat untuk memilih sebuah bilik yang juga menempatkan pelbagai peralatan gimnasium sebagai lokasi bilik sumber PPDa. Ini adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej gaya hidup sihat dan bebas dadah.

Lokasi yang terletak di tingkat 2, Blok B SMK Taman Tun Fuad akhirnya telah dipilih sebagai bilik sumber PPDa dan dimulakan penubuhannya pada bulan Mac 2009. Pembentukan Ahli Jawatankuasa telah dibuat dan proses menyediakan pelbagai fasiliti dan pengumpulan bahan serta info anti dadah juga telah dimulakan. Pelbagai aktiviti dijalankan dalam Minggu Anti Dadah manakala perasmian Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) SMK Taman Tun Fuad juga telah disempurnakan oleh En Ednan Muyong, Penolong Pengarah Kanan PPDa Sektor Pengurusan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri, Sabah pada 16 April 2009.

Bermula dengan penubuhan bilik sumber PPDa, maka sekolah ini telah mula mendapat perhatian agensi luar seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang telah mencalonkan bilik sumber PPDa sekolah ini di dalam Program Sekolah Gemilang Anti Dadah Kebangsaan (SEGAK) tahun 2009. Selain itu, sekolah juga telah menyertai pelbagai pertandingan dalam Karnival PPDa yang telah menjadi acara tahunan jabatan.

No comments:

Post a Comment